Kepada Nanti.

Prjmldn,
PG, MY.


Kehadapan engkau yang satu masa dulu pernah diinjak-injak oleh orang lain,

Setelah tiga puluh tahun yang kau lewati, apa khabar dirimu sekarang? Sulitkah kau menjalani hidup menjadi orang? Apakah separuh jiwamu sekarang adalah dia yang sering kau puja-puja dahulu? Aku doakan umurmu masih panjang dan semoga surat ini tidak berumah di nisan. 

Ketika surat ini ditulis, aku memakai flannel berwarna merah jambu. Iya, flannel kegemaran kita. Tetapi kita sudah maklum bahwa waktu yang sudah lewat tidak bisa kembali walaupun kita bisa menggoda Tuhan. 

Pertama-tamanya, maaf.

Maaf daripada aku dan dia yang sudah pernah menjadi bodoh dan sering mengecewakanmu. Maaf kerana tidak mampu menjaga apa yang lebih dan apa yang kurang.

Tidak lupa juga ucapan terima kasihku padamu yang telah memimpin aku untuk melangkah terus dan meninggalkan dia, masa lalu kita.

Waktu kau membaca surat ini, aku telahpun menapak mengambil tempatnya dengan menjadi yang baru. Meskipun aku tidak mampu mengubah persepsi orang-orang, tetapi cukuplah cuma kita yang merasainya.

Masihkah kau setia berteman pena, kertas dan buku? Atau sekurang-kurangnya masih mencatat apa saja pada skrin gadget paling terkini yang kau pakai? Terima kasih kerana masih menyambung itu. Semoga tulisanmu lebih baik sekaligus mempelbagaikan pemahamanmu.

Ingat, jadi orang itu jangan suka mempersulitkan orang lain. Jika waktu ini aku tidak boleh melihat kesusahan ibu, kau juga harus begitu di usia tuamu. Jangan suka menyusahkan suami, anak cucu kita atau siapa saja. 

Walau aku tidak mungkin berdiri di tempatmu sekarang, ketahuilah aku masih tetap menempel padamu seperti dua permukaan wang logam itu--berlainan tetapi masih tetap satu.

Raikanlah segalanya tanpa ragu. Kau sudah terlalu lama berduka. Bebaskanlah semuanya. Semesta selalu ikhlas menerimamu. Berbanggalah dengan hidup dan kami yang telah dipaksa pulang dahulu.

Kemudikan perjalananmu sebaiknya agar ia sentiasa menghidupimu.


Yang benar, 
Masa lalumu yang selalu gagal diet.