Menggali Syukur di Tahun 2020.

Hari ini, aku curi masa sekejap sebelum bercuti panjang menghabiskan tahun 2020 yang bersisa kurang dari 48 jam. Macam biasa, hujung tahun kebanyakan orang akan recap atau look back tentang apa yang telah terjadi sepanjang tahun tu.


Tak aku nafikan, ramai juga yang merasakan tahun 2020 merupakan tahun yang paling bangsat. Orang baya aku di zaman 80an atau 90an dulu, selalu terbayangkan tahun 2020 akan ada kereta terbang. Padahal kapal terbang pun tak boleh terbang sangat tahun ni.


Virus COVID-19 merupakan punca utama kelumpuhan semua benda, ekonomi, sosial, kebajikan, macam-macam lagi. Kalau difikirkan balik, aku tak begitu membenci 2020. Walaupun hidup aku dari Mac sampai Ogos tanpa gaji, dan waktu bermula PKP, aku juga panik kerana sedang mengandung 5 bulan, dan plan nak beli barang-barang anak semua hancur. Aku nak yang terbaik untuk anak aku, lagi-lagi teruja untuk menjadi ibu buat pertama kali.


Aku ingat lagi waktu tu cuma ada RM50 dalam akaun bank. Gaji 17 hari waktu bulan Mac belum diberi dan suami pun diberhentikan kerja. Tapi entahlah, bila orang cakap pasal rezeki anak, aku selalu persoalkan macam mana, sebab aku tak faham (waktu masih bujang dululah). Bukan ke kita kena beli itu ini? Bukan ke banyak duit nak kena guna? Apa yang rezekinya?


Mungkin sebab persoalan aku dah buat Tuhan marah, maka Dia cepat-cepat kurniakan sejuta insan baik, kawan mahupun bukan, untuk menunjukkan kebenaran "rezeki anak" tu pada aku. Publisher aku bayar royalti buku lump sum, seorang ahli politik beli 10 buku aku setelah aku iklankan di Twitter. Adik beradik, saudara mara, kawan-kawan baik, kawan-kawan rapat, kawan-kawan zaman universiti, kawan-kawan yang dah jadi ibu, kawan-kawan yang tiba-tiba mesej cakap nak bagi barang anak waktu anak dia baby, bagi itu ini, yang bukan kawan, yang baru kenal, yang mendoakan urusan aku dipermudahkan -- SEMUA mereka ini adalah jawapan Tuhan. Terima kasih Tuhan yang maha baik. Terima kasih juga, kalian.


Selain itu, antara yang aku bersyukur di tahun 2020 ni ialah PKP waktu Ramadan. Memang niat aku untuk selesai khatam Al-Quran sebelum bersalin. Alhamdulillah tercapai. Antara lain, cuti tanpa gaji somehow buat aku refleks juga since kandungan aku waktu tu harus ulang alik ke klinik, jumpa nurse, jumpa doktor, jumpa pakar. Jadi sepanjang itu, walaupun aku agak down, tapi tak perlu sibuk-sibuk nak apply cuti sebab memang dah cuti pun, dan aku bersyukur sebab sentiasa ditemani suami. 


Apalagi meraikan kehadiran anak kami di tengah-tengah konflik pandemik. Semua sakit lebur dan lunas apabila melihat anak yang selama ini cuma menendang di dalam perut, hadir di depan mata. Allah maha besar, Allah maha kuasa. Sempat berpantang di rumah sendiri cuma dua minggu, satu lagi berita baik datang. PKP ditamatkan dan rentas negeri dibolehkan. Dalam pantang, aku dan suami membawa anak kami pulang ke kampung di Pantai Timur untuk berpantang di sana. Alhamdulillah keluarga mertua juga diberi kesempatan oleh Tuhan untuk melihat cucu baru mereka. Aku bahagia. Sesudah itu, elaun bersalin yang aku sangka mungkin tak akan dapat, diberi sepenuhnya pada aku sepanjang dua bulan bercuti, walau tempat aku bekerja masih dicutikan tanpa gaji. Fabiayyi aalaaa irobbikuma tukadziban.


Itulah antara rentetan cerita yang membuatkan aku tetap menghargai apapun yang jadi pada tahun 2020 ni. Benarlah kata orang -- dalam buruk ada baiknya, dalam teruk ada manisnya. Terpulang kita untuk meraikan yang mana. Siap sedia mengucapkan selamat tinggal. Tahun depan kita jumpa lagi. 


Semoga lebih baik untuk kita semua kedepannya. Biar tahun 2021 hanya menjanjikan hal-hal indah belaka. Jangan dalgona coffee lagi. Letih.


0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.