Ambruk

Kebelakangan ini, aku beperang dengan suara-suara. Apa yang aku selalu tidak dan jangankan, dibalikkan kepadaku tanpa ampun dan pesan. Entah keadaan hidup yang bertukar, atau nuansa pertemanan yang dibadai jarak dan kerinduan.


Apakah aku bukan teman yang baik? Apakah aku bukan sahabat yang perlu diakui? Soalan-soalan tumbuh dengan kadar kecepatan yang bukan main, meliar dan merusuh di kepala. Mungkin aku tidak banyak memberi, atau tidak banyak berjumpa. Atau, aku memang tidak pernah melebihkan teman-teman sendiri. Refleksinya cuma itu; kita mendapatkan sesuatu kerana kita telah melakukan sesuatu, biar baik ataupun buruk.


Aku akui, aku merasa terpinggir dengan kumpulan pertemanan itu. Di satu kumpulan, pekerjaannya bagus-bagus. Di satu kumpulan lagi, bakat dan popularitinya makin menjadi-menjadi. Di satu kumpulan pula, mungkin, aku sebenarnya sudah tidak patut berada di situ; tak dipeduli.


Sungguh aku merasa begitu kecil sekali. Apa perlu kiriman hadiah berjenama untuk baru disukai? Apa perlu mengalasankan statusku sebagai ibu dan isteri sebagai punca kurang berjumpa ke sana ke mari? Apa perlu diyakinkan ketinggian tingkat kewangan, biar selaras agar dapat bertempuk-tampar di kafe dan restoran?


Aku tidak mengajak kerana merasa diriku tidak diinginkan. Aku tidak diajak kerana aku pasti akulah yang paling dilupakan. Suara-suara itu meyakinkan lagi, bahawa aku tidak memiliki apa-apa untuk dipandang siapa-siapa. Mungkin, dalam kelompok pertemanan ini, aku menjadi yang paling tidak digemari. Atau sekurang-kurangnya, pasti nama yang dipilih akhir sekali.


Kenapa begitu terbawa-bawa emosi, aku pun tak tahu. Mungkin sudah lama, yang tidak disebut tetap nama ini, yang tidak dipanggil lagi-lagi yang ini, yang tidak punya urusan langsung untuk mengucapkan apa-apa, balik-balik ini lagi.


Kadang aku menangis mengenangkan semua ini. Menjadi bukan siapa-siapa di zaman ini, payah sekali. Kerana itu mungkin aku kurang ber-igstory. Biar aku menjadi orang yang terlupakan. Menjadi hidup yang mungkin tidak pernah pun menghidupi.


Setidaknya aku hanya bernyawa untuk apa yang ada; untuk keluarga. Seeloknya biarlah aku memutuskan diam..



..dan tolonglah, jangan sedar.





0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.