Sebelum dan Setelah Kewarasan Berumah.

Sudah kurang lebih tujuh kali aku taip dan padam untuk surat kali ini. Mungkin benar apa yang dikatakan M.Nasir pada semua ayat di dalam rangkap mula lagu Suatu Masa.


Saat semua manusia berpindah ke vlog, aku mungkin masih di sini. Masih merasakan suasana dan nuansa betapa menaip atau menulis itu harus tetap terus ada untuk dibaca.


Manusia dikurniakan dengan pelbagai anugerah. Yang mahir di blog mungkin kaku di vlog. Yang pintar bercakap mungkin kurang bijak menulis. Dan di dalam struktur sebuah pohon, dahan dan ranting berpencar dan bercabang, namun masih tetap bersetuju untuk tidak saling menghunus diri masing-masing.



Bertemankan lagu-lagu Mono dari album Hymn To The Immortal Wind, aku memutar balik semuanya sejauh-jauhnya. Lebih lebih lagi tentang perjalanan hidup yang sedari mula telah direncanakan. 


Minggu lalu, aku diberi kesempatan oleh Tuhan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat baik arwah mak dan arwah abah. Betapa sesi bertemu semula itu membangkitkan lagi rasa rindu yang tidak pernah selesai kepada kedua orang tua, seolah semalam semuanya masih sama, masih lengkap kami berlima.


Aku jarang menceritakan kerinduan aku pada mereka di mana-mana pentas media sosial. Untuk aku, biarlah semuanya aku luahkan di tikar, supaya apa yang aku minta memang berhak diminta kepada yang maha memberi.


Tuhan maha kaya, maha baik, maha mengasihani, dan maha mengetahui tentang segala sesuatu. Sudah terlalu lama kita mendengarkan ini, atau sekurang-kurangnya mengetahui tentang ini. Tinggal percaya setelah disorongkannya dengan semua bukti-bukti. Dan selebihnya, aku tak punya kata-kata lagi. Aku bahkan tidak punya apa-apa lagi.


Mungkin kerana itu aku lebih memilih untuk tidak bersedih-sedih. Lebih memilih untuk tidak meratapi dan merindui arwah abah dan arwah mak dengan ucapan merentan yang berjela-jela di media sosial. Tapi aku hormat je kalau ada yang lebih memilih menunjukkan dedikasi-dedikasi di media sosial dengan caption-caption rindu yang tidak berbagi kepada mereka yang telah pergi.


Cuma entahlah, sejak aku belajar menyimpan kesedihan cuma untuk diri sendiri, aku lebih tahu menempatkan hal-hal demikian di tempat yang sepatutnya. Tangisan rindu dan doa kepada orang tua hanya aku hantarkan ketika aku bersama sesuatu yang lebih berhak memiliki mereka.