Selamat Tinggal Datang.

Terlalu banyak yang ingin aku katakan tentang 2018 tetapi aku juga kehilangan kata-kata untuk itu. Tahun yang mengambil hidup aku dan memaksa aku hidup tanpanya. Tahun yang meninggalkan bekas luka paling dalam sekaligus memunculkan sinar kepada banyak pertanyaan aku selama ini. Tahun yang mengubah, mengajar dan membentuk aku untuk hidup tanpa pergantungan. Tahun yang memaksa aku mengucapkan selamat jalan kepada satu hal besar, sekaligus tidak dapat memaknakan kegembiraan-kegembiraan lain.


Tahun ini memaksa aku memulakan perjalanan di bulan Januari dengan usia baru dalam sakit yang tidak tertanggung. Tapi aku percaya setiap campur tangan Tuhan adalah lebih baik daripada perancangan-perancanganku. 


Aku dipaksa memulakan 2018 bersama kepiluan yang Tuhan kalungkan di leher ketika Dia memutuskan untuk menjemput mak pulang ke rahmatullah setelah kurang lebih 4 tahun melawan penyakit auto immune SLE dan fibriosis. Aku tak menangisi kehilangannya di media sosial. Tak aku panjang lebarkan karangan ayat sedih meleret-leret atas pemergiannya. Tidak pernah juga aku ulang kembali semua kisah sepanjang aku menjaganya baik di hospital mahupun di rumah.


Mungkin aku terlihat ceria dan bahagia seolah tiada apa yang berlaku, tetapi Tuhan saja yang tahu di setiap aku berseorang. Tuhan saja yang faham di tiap sebelum aku melelapkan mata. Tuhan saja teman aku di setiap sahur di bulan Ramadan. Tuhan saja yang arif di setiap pagi aku, di setiap hari aku membuka pintu bilik mak dan tiada lagi jawapan yang dapat aku terima untuk pertanyaan "mak nak makan apa pagi ni?" Tiap hari aku dipaksa hidup untuk merasakan mati.


Mungkin aku pernah kemurungan kerana itu, atau mungkin aku pernah tidak waras memikirkan takdir aku di waktu itu, tetapi aku tak pernah ambil tahu keadaan aku sendiri. Tak pernah aku jatuhkan air mata di depan siapapun kecuali Tuhan. Mungkin ini kali pertama aku bercerita panjang lebar tentang keadaan aku selepas mak meninggal dunia.


Terima kasih kepada beberapa teman yang sudi bertanya khabar waktu itu. Adik-beradik dan saudara-mara yang begitu kuat membentuk sistem sokongan yang baik, serta yang membantu, dan yang selalu ada, terima kasih yang tak terhingga. Dan kau, terima kasih untuk menyemangati dan tetap tinggal.


Bagi aku, cukuplah dengan sebuah kesedihan yang tidak akan dapat aku lupakan seumur hidup.. Kelak aku juga akan dijemput untuk bersama mak dan abah. Tidak aku izinkan hidup yang sedia kelam ini menanggung beban kesedihan yang beranak-pinak lagi. Maka aku buka peluang untuk diri sendiri, memberi ruang untuk diri membaik dan berterima kasih kepada akal dan iman yang tersisa. Aku kini memahami betapa Tuhan tidak pernah tidur.


Perlahan-lahan, Tuhan menyusun perkara-perkara baru. Langkah ini diorak ke dunia yang sebelum ini tidak pernah aku jejak. Walaupun sudah sering aku lakukan di hampir setiap pagi sejak 2017, namun menyertai acara larian/berjalan sudah mula bertempat di hati aku. Bermula dengan I Love Penang Walk 2018, aku berjinak-jinak ke fun run, walaupun cuma 5-7 kilometer. Bermula dari situ, bagi aku kesemua acara larian yang aku sertai mahupun akiviti larian yang aku lakukan bukan lagi senaman untuk kesihatan (atau menguruskan badan), ia sudahpun menjadi sebahagian daripada escapism sekaligus bekal untuk endorphin aku berumah.


Dari sisi lain, sebagai seorang penulis puisi (yang mungkin biasa-biasa, tidak pernah didengar atau tidak diketahui keberadaannya), Mei 2018 memberi ruang kepada aku untuk sekali lagi keluar melihat kota lain, khususnya tentang sastera, budaya dan masyarakatnya. Terima kasih untuk Makassar International Writers Festival 2018 (MIWF2018) yang sudi menjemput Rumah Ripta (yang sudi mengajak aku) untuk bersama-sama melestarikan karya-karya puisi dari Malaysia. Tidak mengapa bertapak ke depan walau cuma seinci, yang penting ke depan. :)


Pengalaman di  MIWF2018 tidak tergambarkan. Dapat bertemu penyair-penyair kegemaran yang aku sangka akan selamanya mimpi kerana terpisah geografi, traveler sejati, teman-teman baru dari band indie, anak-anak universiti, KataKerja, Kopi Ujung, Pantai Losari, tahu firaun, pisang ijo, coto makassar, pisang epe dan segala macam lagi. Indonesia sekali lagi membuktikan kekayaan kotanya untuk tidak bosan dilawati.


Dan kemudian datang bahagia yang paling manis. Yang paling membuat aku terisi. Yang telah dijanji jika Tuhan menjanjikan. Membuatkan aku merasa paling hidup dan menghidupi apa yang telah dibangun. Dari jalan raya mengharung laut dan akhirnya berhenti di gunung; Pulau Langkawi akan sentiasa menjadi pasak untuk aku pulang dari keserabutan apa pun. Dan dari situ, selepas Langkawi, datang usaha-usaha dan keputusan-keputusan. Selebihnya tinggal doa, semoga yang baik-baik sahaja. 💗


Untuk penutup 2018, Disember kali ini milik acara keluarga. Setelah menjauh dengan kerja sehari-harian, keluarga besar kami menerima seorang lagi ahli baru. Kali ini rombongan bertandang ke Johor (sekaligus Melaka) untuk destinasi terakhir merayakan hidup di tahun ini. 


Di setiap semuanya, kisah penuh duka mahupun denting bahagia, aku tetap bersyukur atas segala kiriman yang Tuhan titipkan untuk aku agar lebih menghargai hidup dan orang-orang baik di sekeliling aku. Semoga kita yang ada untuk kita akan terus ada, lebih bahagia dan dikurangkan beban-beban dan masalah yang menimpa.


Pesanku  untuk semua di tahun baru 2019, hidup tidak pernah menjanjikan apa-apa kecuali mati. Maka, bernyawalah.