Jangan Membela Perompak Yang Bersalah!

Kesalahan yang tuan dan puan lakukan 
lebih besar daripada perikemanusiaan saya. 
Maaf, saya tidak punya waktu untuk bersimpati.


Semalam saya menuliskan ini di Twitter. We sin differently, yes. Jalan hidup kita juga tidak sama. Maka ujian dan rintangannya juga pasti berbeza-beza. Sebagai marhaenis, saya tahu telah kita rebut sekecil-kecil peluang apa pun untuk mencari nafkah, apalagi demi kelangsungan hidup dan pelangsaian hutang.


Pada mulanya adalah MENANG.


Rakyat negara saya, Malaysia, telah membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah lebih besar daripada kuasa pemerintah. Sudah cukup saya diperli teman-teman dari beberapa negara lain tentang kepimpinan waktu itu yang penuh korupsi tetapi kenapa rakyatnya hanya berdiam diri.


Pilihan raya umum ke-14.


Gelombang Malaysia baharu akhirnya termilikkan. Rakyat membuktikan kita berhak membuang-ambil sesiapa saja yang kita rasakan layak untuk berada di atas atau membuang sebesar mana pun nama untuk ia berada di bawah, melalui cara yang paling benar dengan pengundian di pilihanraya umum. Saya bangga kerana rakyat Malaysia tahu menggunakan jalur yang legal sekaligus mengubah masa depan negara di mata dunia.


Tahniah. Kita berani.


Berbalik kepada kata-kata saya di Twitter itu, pada mulanya saya merasa simpati melihat beberapa gambar yang tertera muka tuan terutamanya, dalam keadaan kepenatan dan kerisauan, di rumah tuan mahupun di rumah Tuhan. Saya tahu, semua manusia punya kesalahan, semua manusia juga punya kemanusiaan. Saya tidak ada masalah untuk sejenak berehat di tempat tuan dan merasakan getirnya memikirkan penggeledahan-penggeledahan itu.


Untuk saya, memberi rasa kemanusiaan saya kepada tuan dan puan suami isteri, adalah tidak mungkin. Kerana waktu tuan dan puan membeli jutaan harta benda sejak dari kepimpinan korupsi terbesar itu bermula, saya jadi tertanya, di mana kemanusiaan tuan dan puan di waktu itu. Saya jadi terimbau akan jerih payahnya ibu saya membela tiga anak seorang diri kerana ayah sudah lama menginap di kubur.


Saya juga jadi teringat kesusahan rakyat yang dalam kemiskinan mengharap simpati yang cuma dihulurkan tuan bantuan rakyat, mahupun elaun yang sehabis baiknya cuma RM300 per bulan, sedang tuan dan puan menyimpan harta benda yang entah dari mana datangnya, sekaligus mengusulkan memotong belanja biasiswa untuk pelajar-pelajar kita.


Saya tidak apa-apa kalau itu semua demi kebaikan negara. Tetapi slogan "kerja untuk rakyat" itu rupanya tidak ada. Sama sekali tidak ada!


Saya tahu setiap pemimpin punya pros and contras, tetapi tuan mengambil penat lelah kami, mengikat perut-perut kami semata-mata kerana ketamakan yang sementara. Waktu saya masih di sekolah rendah, majalah Mastika ada menulis tentang Imelda Marcos, wanita pertama Filipina ke-10, yang terkenal dengan keborosannya. Ternyata Imelda Marcos belum apa-apa.


Waktu tuan mempermainkan rakyat dengan turun naiknya harga minyak dunia, kami belum turun ke jalan di tiap minggu untuk memprotes dan berdemo. Semuanya diterima dengan kepala yang sesak dengan fikiran-fikiran bagaimana menguruskan kewangan hingga bulan berikutnya. Belum saya ceritakan tentang hal 1MDB yang sedari mula begitu mengundang penasaran dan syak wasangka rakyat Malaysia bahkan dunia. Kami terus juga menjalani hidup dengan mengais apa adanya.


Setiap manusia memang punya kesalahan masing-masing, tetapi jika kesalahan yang dilakukan itu melibatkan penindasan berjuta orang dan dia tahu, tetapi masih memilih untuk melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang demi kepentingan diri, maaf, tiada tempat di hati saya untuk semua ini.


Kalau harta benda kita dirompak, pasti kita merasakan api kemarahan kepada yang merompak, atau setidaknya kecewa dengan kehilangan-kehilangan oleh peristiwa yang cuma beberapa minit itu. Tetapi untuk hal yang sebesar ini, dengan korupsi dan aset yang bernilai jutaan ringgit selama bertahun-tahun, diambil sedikit demi sedikit dari harta kami yang memang sudah sedikit, maka apa yang tinggal?


Ya. Kemaafan pun mungkin tidak bersisa.


Suara saya mungkin tidak mewakili semua kerana pendapat kita berbeza-beza, tetapi tidak saya lucukan atau memaki hamun sesiapa di sini. Sudah menjadi lumrah, yang salah akan dihukum sesetimpalnya, kerana itu, biar hukuman yang dijadikan pengajaran, bukan pengampunan dan keikhlasan.