Kronologi Penyakit Kronik Mak.




Sebab kematian:
Septic shock secondary to community acquired pneumonia with underlying bronchectasis.


May 2013: Mak ke Aceh atas lawatan kerja dengan rakan-rakan pejabat. 


November 2013: Mak pencen. Aku menemani mak ke Dewan Sri Pinang untuk menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kurniaan negeri Pulau Pinang atas perkhidmatan mak sebagai kakitangan kerajaan.


Januari 2014: Mak memutuskan untuk melihat dunia luar sekali lagi dengan mengajak aku untuk turut serta (sebagai tukang angkat barang je sebenarnya, haha) ke Ho Chi Minh, Vietnam.


Mac 2014: Kami menghantar mak ke Kuala Lumpur menaiki tren untuk beliau bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya meraikan entahlah apa yang mereka ingin raikan. Shopping je tu. Waktu ini kecoh tentang kehilangan MH370. Siangnya, aku keluar ke Armenian Street playing tourist kerana kebosanan. Waktu aku di Old Town, Precinct 10, Tanjung Tokong, aku mendapat panggilan dari mak, bertanya khabar tentang kami adik-beradik. Pertama kali, dia mengadu semalam sewaktu di hotel, dia mengalami penat.


Setelah itu, pulang ke Pulau Pinang, bermulalah episod perjalanan kami berulang-alik ke hospital, mencari tahu apa sebenarnya penyakit yang dihidapi mak. Hampir enam bulan dalam pemeriksaan doktor, bukan batuk kering, bukan TB, bukan juga kanser. Kami sedikit buntu tentang keadaan ini.


Penghujung 2014: Doktor mengesahkan bahawa mak menghidap penyakit auto-immune atau SLE, atau lebih dikenali sebagai lupus(boleh google dan baca sendiri). Penyakit ini membuatkan antibodi di dalam badan mak menyerang dirinya sendiri. Akibat daripada itu, ia telah memberi kesan kepada salah satu organ di dalam badan, di mana dalam kes mak, ia merosakkan organ paling besar di dalam badan kita iaitu paru-paru. Paru-paru mak menjadi keras dan tidak dapat mengembang dengan baik, ia dipanggil fibriosis.


Mak dirujuk kepada seorang doktor pakar, Dr. Lalita di Klinik Dada di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Menurut doktor, penyakit mak adalah penyakit yang jarang-jarang dihidapi. Sepanjang pemeriksaan, mak juga dikesan mempunyai masalah jantung sejak tahun 2011, dan telah disarankan untuk menjalani rawatan skop untuk mengesan peratusan arteri yang tersumbat. Mak menolaknya pada tahun itu dan rawatan itu tidak dijalankan.


Berkenaan SLE, doktor memulakan ubat Azathioprine dan Prednisolone (steroid) dengan dos yang paling tinggi. Malangnya mak mengalami alahan dengan Azathioprine (atau diberhentikan atas sebab aku pun lupa kenapa). Mak masih aktif ke sana ke mari, dan kelihatan berisi kerana steroid Prednisolone yang diambil.


Dunia menjadi gelap seketika apabila doktor memberitahu bahawa penyakit SLE mak itu tidak akan sembuh, hanya boleh dikawal sahaja. Aku buntu dan menyoal Takdir, namun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. 


Malangnya, penggunaan Prednisolone tersebut melemahkan sistem imunisasi mak, dan mak terkena serangan tuberculosis (TB). Rawatan TB dimulakan serta merta dengan sejenis ubat, namun mak mengalami alahan. Rawatan yang sepatutnya berjalan selama enam bulan telah dilanjutkan sehingga sembilan bulan dengan menggunakan ubat yang lain. Alhamdulillah, rawatan selesai pada September 2015.


September & Oktober 2015: Kami ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana mak akan menjalani angioplasty untuk jantung beliau. Aku bermalam bersama beliau di sana, di Wad CRW, Block C. Setelah pertama kali melakukan angio, mak tiba-tiba mengalami penat yang melampau. Menurut doktor, mak mungkin alah kepada ubat Brilinta yang diberi. Dari detik inilah, SPO2 (oksigen) beliau mula menurun ke 95. Angio dilakukan sebanyak dua kali kerana entahlah masalah apa, tapi merasa jugalah pengalaman beraya di hospital (Raya Haji 2015).


Setelah itu, keadaan mak mula menunjukkan reaksi yang negatif. Mak makin bertambah penat, dan dimasukkan ke HSJ pada bulan Mei 2016 akibat paru-parunya dijangkiti kuman (pneumonia) dan mengakibatkan batuk yang mengeluarkan darah. Setelah selesai rawatan, mak dengan semua penyakit yang dihidapinya, masih lagi gagah melakukan kerja-kerja rumah yang ringan-ringan walaupun dihalang oleh kami, anak-anaknya. Sehinggalah dia dimasukkan ke HSJ sekali lagi pada entah bila aku dah lost count. Waktu ini kami sudah mula menyewa oxygen concerntrator (RM350 sebulan) untuk digunakan di rumah kerana bacaan SPO2 mak sudah menurun ke kadar 87-90. Sehinggalah kami membeli sendiri oxygen concerntrator berharga RM4000.


2016: Mak semakin kurus. Makin kurang melakukan kerja-kerja rumah (sebab kami tak bagi dan dia pula jenis yang tak boleh duduk saja). Mak disarankan untuk banyak berehat. Tapi sifat seorang perempuan yang tidak mudah berputus asa, mak masih lagi cuba melawan penyakit yang dihidapinya. Membantu anak-anak saudara dan adik beradiknya dalam aktiviti kenduri dengan menggubah hantaran kahwin mereka.


Ada juga nasihat dari beberapa orang rakan dan saudara agar menyuruh kami mencuba rawatan alternatif dan berubat cara kampung. Percayalah, kami cuba walaupun tidak banyak, kerana mak memerlukan oksigen sepanjang masa bila di rumah. Untuk membawanya pergi ke tempat rawatan memerlukan beliau memakai portable oksigen (tong medical oxygen) yang perlu diisi gasnya apabila habis. (Kami isi di SIG Gas Industries, Bukit Minyak, Pulau Pinang. Satu tong RM30. Kami memiliki dua tong, satu tong RM1000)


Januari 2017: Sejarah sekali lagi menghantar mak ke HSJ, kerana kes yang sama, batuk berdarah. Setelah dirawat, doktor mengatakan penyakit mak memang akan berlaku batuk berdarah kerana steroid telah menipiskan salur tekak di samping paru-paru yang sudah banyak rosak akibat daripada parut TB dan serangan SLE. Lebih kurang bulan Mei-Jun, kami sudah mula membeli kerusi roda untuk kemudahan mak dan tong medical oxygen yang diattach ke wheelchair untuk kami membawa mak bersiar-siar di luar rumah kerana mak semakin lemah dan tidak dapat berjalan walaupun dalam jarak dekat di dalam rumah.



Itulah kali terakhir kami berumah di HSJ sebelum Januari 2018, batuk berdarah terjadi lagi dan kali ini, mak semakin lemah, dan oksigen yang diperlukan semakin kuat. Ambulan dipanggil untuk memudahkan perjalanan kami ke hospital. Kali ini kami ke Hospital Bukit Mertajam (HBM). Selasa 16 Januari, aku menemani mak di Kecemasan & Trauma HBM, red zone kurang lebih jam 11 malam.


Mak dimasukkan ke Wad 10, di ruang rawatan rapi pada jam 3:40 pagi. Aku bermalam di wad menemaninya selama dua malam, adik menjaganya di waktu siang, dan malam terakhir, kakak aku menjaganya.


Sehinggalah hari Jumaat, 19 Januari, mak bangun jam 6:30 pagi dan menyuruh kakak aku mengelap badannya untuk bersiap-siap dirawat doktor pagi itu. Sedikit gerakan pun memenatkan mak, walau cuma mengiring. Setelah selesai dilap, dia terbatuk sedikit, darah segar terkeluar sedikit. Dan tiba-tiba batuknya berterusan tidak sampai lima minit (kata kakak), mak tiba-tiba pengsan. 


Doktor mengatakan bahawa mereka akan memasukkan oksigen terus ke dalam mulut mak, tetapi berisiko; jantung mak mungkin akan terhenti. Sewaktu aku sedang memandu kereta untuk bergegas ke HBM pagi itu, (kerana kami tidur di rumah dan malam tadi giliran kakakku), di dalam kereta, adikku di sebelah membaca mesej di Whatsapp; dari kakak; mak dah tak ada.


Semoga Tuhan mengganjarkan syurga buat mak kerana memberi peluang untuk mak menghapus dosa-dosanya dengan memberi ujian kehilangan nikmat kesihatan untuk mak.


Semoga mak (dan abah) ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kami redha.
Al-fatihah.