Ruwet dan Rawat.


Cukup kita tahu apa yang kita tahu, cukup dengan cukup, apalah orang tahu.


Keadaan tidak pernah memaksa aku untuk tidak bersetuju dengan pendapat ini. Tidak kira di dalam apa jua cara; santai, mendalam, berduka mahupun gembira, aku pasti tidak akan pernah menidakkan bait yang Zizi Kirana nyanyikan dalam lagu Levitasi ini, ciptaan seorang figura muzik hip hop yang begitu dihormati di Malaysia.


Tahun ini bermula dengan kesakitan yang tidak tergambarkan. 
Alfatihah, mak. Selamat bertemu abah di syurga. 


Keserabutan selalu menyinggah kepalaku, dalam lena mahupun jaga. Sedetik terasa lama, mengira-ngira sisa semangat hidup yang ada untuk meneruskan esok. Di sebalik ketikan "hahaha" yang kuhujamkan ke papan kekunci bila berbicara, semuanya seakan tidak memaknakan apa-apa. 19 Januari, mak pergi meninggalkan, tapi aku tahu, akulah yang sebenarnya ditanam hidup-hidup di kuburan.


Namun, ada kehidupan yang perlu diteruskan. Tugas seorang anak tidak akan habis walau ibu bapa mereka telah pergi meninggalkan. Aku diamkan semua rasa tawar dan birat kerana aku tahu dunia tidak akan turut berduka hanya kerana aku seorang yang merasakan lara.


Untuk aktiviti lari pagi seorang diri, terpaksa aku hentikan sementara. Terkutuk juga apabila kau selalu memiliki ingatan yang baik. Seminggu selepas arwah mak pergi, pemakanan yang aku jaga sekitar enam bulan sudah mula ke laut. Aku makan semuanya, apa saja. Semangat untuk menjaga diri tidak lagi ada kecuali solat, makan dan mandi.


Mujur aku punya teman membunuh lemak yang sama-sama jatuh dan bangun dalam arena menguruskan badan. Terima kasih Tuhan untuk lari pagi yang telah kumulakan Sabtu lepas. Meski beramai-ramai, sekurang-kurangnya itulah titik mula untuk kembali bangkit meneruskan harapan-harapan.


Beberapa hari lepas, aku memutarbalik ingatan-ingatan di kepala, tentang apa dan siapa. Alhamdulillah, setelah beberapa ketikan di media sosial, aku mengetahui gambar-gambar semua manusia di masa laluku gembira mengecap bahagia dengan berkahwin dan beranak-pinak, berkelana, memiliki pekerjaan yang bagus dan kesihatan yang baik, baik yang lelaki mahupun wanita. Aku bahagia dengan berita kebahagiaan mereka, walau hati sedikit terluka dan bertanya di mana kegembiraan yang Tuhan simpankan untuk aku. Silly me.


Aku tahu, di sebalik sesetengah pihak yang memandang rendah dengan usaha-usaha aku untuk menguruskan badan, mengejar akhirat, menabung, berkahwin, hatta bernafas sekalipun, aku masih punya ramai teman-teman yang tidak jemu mengambil berat tentang keadaan aku sekarang. Untuk kalian, maaf untuk tidak berkongsi banyak rasa yang meributkan. Aku tahu, kalian mendengar diamku.


Demi jalan-jalan yang sunyi, yang dipaksa aku berseorang di bingit malam, aku berani.



Alhamdulillah, aku masih di sini, dan berusaha ada untuk Ada.