Menutup 2017.


Kurang dua puluh empat jam untuk tahun ini bertukar angka. Mungkin hari ini adalah saatnya untuk aku menoleh ke belakang, menghitung semua langkah kecil yang telah kumulakan sewaktu menjalani hidup apa adanya hingga ke hari ini.


Terlalu banyak yang dilalui dengan kadar cuma sekelip mata. Yang ada telah pergi, yang dihilangkan tak ingin dikembali. 2017 bukanlah tahun yang malang, bukan juga sebuah episod yang patut kubanggakan secara keseluruhan. Tetapi cukup untuk melahirkan rasa syukur kerana masih diselamatkan berdepan tentangan-tentangan yang mengajarku untuk lebih santai apabila diuji.


Bulan pertama dibuka dengan berumah di hospital. Tentang ini, biarlah begitu saja. Doakan saja semoga tidak lagi ke sana, bersesak di antara katil pesakit, doktor dan jururawat yang merawat, dan orang ramai yang datang berziarah. Kemudian, kesempatan untuk mengulang kembali sejarah enam tahun lalu; berpentas (atau sekadar berjumpa teman-teman penyair dan pencinta puisi) di acara Kamar Rahsia.


Diselang-selikan dengan kemanisan penyatuan teman-teman dengan pasangan masing-masing, kelahiran anak-anak baru kawan-kawan lingkungan, dan cerita-cerita sedih sahabat-sahabat serta orang terdekat yang telah pulang lebih awal dijemput Tuhan. Semuanya terangkum dalam dua kosong satu tujuh itu.


Tetapi ada satu hal yang benar-benar membuatkanku tidak ingin seperti yang selalunya lagi. Yang tahu akan tahu tentang apa yang berubah. Terima kasih Tuhan kerana menempatkanku di titik terendah itu sekaligus mengurniakan kebangkitan yang Kau janjikan. Setelah lima bulan, aku masih belum berputus asa, masih belum meninggalkan apa yang telah kumula.


Dan di setiap semoga untuk tahun kedepannya, Tuhan tahu apa yang aku mahu. Dan aku juga berterima kasih untuk hal-hal yang tidak ditunaikanNya. Tidak ada hal yang paling sulit di dunia ini melainkan kita sendiri yang menyulitkannya kerana yang selalu membuatkan kita kecewa bukannya orang lain.


Terima kasih, 2017 untuk apa adanya.
Selamat datang tahun baru, semoga lebih bahagia untuk semua.