Menetapkan Garis : Bahagia Itu Relatif, Logika Harus Mutlak.

Bahagia itu relatif. 

Cuma, harus diingat, mencukakan luka sendiri tidak akan sekalipun membuatmu bahagia. Mungkin dengan bersabar demi kebahagiaan yang lain itu adalah apa yang selalu-selalu kau perjuangkan. Tetapi, pengorbanan adalah hal yang lain. Tidak selamanya bersenyum untuk kesakitan yang ditoreh orang itu bagus.


Aku, sebagai seorang penulis puisi yang mungkin dilabel sebagai penulis yang selalu berduka di dalam puisi-puisinya pun, adakalanya merasa lelah untuk hidup dengan kesedihan. Puisi-puisi sedih itu bukan semuanya dari kisah benar, dan tidak seluruhnya juga kucoret berdasarkan kisah hidup sendiri.


Tetapi cukuplah tentang aku dan tulisan-tulisan itu. Apa yang ingin kusampaikan adalah, letakkanlah batas di dalam hidupmu terhadap apapun, walau senipis manapun ia. Pelajarilah bahawa bukan semua perkara, atau orang, layak untuk masa-masa kita.



Seberapa besar pun kata hati yang selalu kau ikut, cukup-cukuplah memenangkannya melebihi otak. Mari kita sepakatkan bahawa selain berbagi beberapa hal dengan yang lain, bukan semua perkara juga memerlukan pengorbanan. 


Sentiasalah beriman bahawa bahagia itu relatif, tapi pemikiran kita juga harus mutlak. Dewasalah dalam nalar, agar beberapa luka, meski tak mungkin sembuh sepenuhnya, mampu perlahan-lahan dilupa..


..tetapi bukan kerana terbiasa.