Pertunjukan Sebenar Gelanggang Tulis dan Baca.

Sekarang adalah zaman pertunjukan.

Lebih-lebih lagi bagi masyarakat yang menggari tangannya di ketik papan kekunci sama ada di PClaptop atau smartphone, yang selalunya (bukan semuanya) berniat untuk mempamerkan, atau dalam bahasa mesra lain: berkongsi, walau apa pun itu. Hal ini termasuklah emosi, barang-barang milik mereka, percutian yang mereka nikmati, malah kehidupan seharian yang mereka jalani.

Ini pasti terjadi kerana internet, terutamanya media sosial telah mengambil alih peranan dan menyediakan jalan yang lebih mudah untuk sebarang perkongsian, termasuk perkara yang akhir-akhir ini paling mendapat perhatian saya, iaitu perkongsian bahan bacaan ke laman sosial.



Bahan bacaan, walau apapun judul atau genrenya, paling-paling dibaca dan dinikmati. Bahkan orang-orang juga berdiskusi, malah saling bertukar pendapat lewat acara bedah buku. Seiring waktu yang berubah, muncul laman atau applikasi seperti Goodreads yang makin memudahkan pembaca berkongsi bahan bacaan dan keep track bilangan buku yang dibaca atau di mukasurat mana mereka berhenti (jika tiada penanda buku atau helaian kertas apapun untuk digunakan sebagai penanda).

Pembaca (walau tidak semuanya) juga adalah pengkritik.

Maka itu wujudnya sorotan-sorotan atau lebih kita kenali dengan kata "reviews" terhadap semua bahan bacaan itu. Penulis (genre apapun) harus mengakui bahawa tidak diberikan daya dan kekuatan oleh Tuhan untuk dia memuaskan hati semua pembaca, walau dengan gaya penulisannya, jalan cerita tulisannya, atau apapun.

Sebagai contoh, Dee Lestari menghabiskan masa 15 tahun untuk enam buah novel siri Supernova, yang bagi saya cukup lengkap dan perfect lebih dari apapun, tetap dikritik dan dicari di mana silap dan kelemahannya.

Jenis pembaca sebagai pengkritik ini perlu ada dalam arena perbukuan kerana tanpa orang-orang seperti ini, mungkin tidak akan ada mata atau akal yang alert sama ada dengan pengubahsuaian, dinamika mahupun bahan bacaan yang memiliki kontroversi. Kelompok ini tidak diciptakan hanya untuk mencari kesalahan, tetapi menjadikan masyarakat lebih celik dengan arena perbukuan zaman sekarang, sekaligus kritikannya sampai ke para penulis dan penerbit.

Dulu, saya merasa kurang selesa dengan kelompok seperti mereka ini. Bagi saya mereka memperkecil-kecilkan usaha orang lain dalam memberi. Tetapi, untuk saya sendiri sebagai penulis (separuh masa), tidak perlu merasa ego untuk mendengar dan membaca kritikan dan pandangan mahupun review dari para pembaca kerana komentar-komentar dari para pembaca/pengkritik itu adalah air hujan yang tidak dapat tidak, tetap jatuh ke tanah dan membuatkan pohon penulisanmu bercambah.



Tetapi harus diingat, tetap harus pandai membezakan pembaca yang mengkritik dan juga pembaca yang bukan pembaca, malah yang cuma sekadar memang hobinya adalah membenci dan menyebarkan kebencian. Kaum yang kedua ini yang banyak kita temui lewat media sosial dengan gelaran keyboard warriors.

Jadi, kepada para pembaca sekalian, jadilah pembaca yang bijak dan pilihlah bacaan-bacaan yang dirasakan benar dan tepat untuk mengisi rak-rak di rumahmu sekaligus menyertai tilam dan bantalmu sebelum pejam.

Kepada para penulis, seperti yang selalu saya katakan, sentiasalah bertanggungjawab atas tulisan-tulisanmu, sama ada tentang faktanya, niatnya, ejaannya, walau apapun itu, kerana buku yang bagus, meski dicintai oleh penjahat, tetap memberikan ruang kepada siapapun untuk berfikir sekaligus merayakan ilmu.