Tua.




Tidak banyak.


Semoga permulaan yang agak tawar ini tersimpan di hujungnya yang manis-manis belaka. Waktu semestinya tak akan pernah mengulangkan apa yang telah lewat tetapi kita sentiasa digantikan kesempatan yang baru untuk bercambah dan tumbuh semula.

Semoga tanggal ini sentiasa melahirkan makna, merejam segala curiga dan buruk sangka di samping menghindar keanehan-keanehan dan mengubat kecemasan-kecemasan.

Meski ada yang mungkin tidak dipersetujui seperti aturan, tetaplah mengalir mengikut acuan. Kembalilah mengingat tentang teori lipas dan katak yang dijerang di dalam air panas. Dua binatang yang tak mungkin mudah diterima akal kerana kegelian.

Buktikanlah segalanya agar tidak sia-sia. Sentiasalah berkecukupan dan sederhana. Langit yang tinggi tak mungkin selalunya jauh untuk digapai. Bermulalah walau sedikit.

Hari ini, kau bebas menjadi apa yang kau mahukan.