Tiga ratus enam puluh enam.

2016 adalah tahun yang tidak kuharapkan banyak kecuali dalam beberapa hal. Tahun yang kukira perlu untuk menjadi sepositif mungkin atas apa yang 2015 hujamkan.

Tahun ini menyaksikan dua kali baki cuti tahunan selama hampir dua minggu, berakhir di hospital. Pertama kali laman rumah menerima kunjungan kereta ambulans yang datang pada malam penuh darah, selain kereta polis yang menghantar kaku tubuh abah pada November 2007.

Aku sentiasa bertanya kenapa sejauh itu Tuhan menguji. Entah siapalah aku di mataNya. Tetapi, tidak akan diuji seseorang itu dengan ujian yang tak mampu dia hadapi. Maka itu, siapakah pula Tuhan di mataku?

Lama-kelamaan, semuanya menjadi biasa. Sehinggakan aku meyakini bahwa bukan hanya rumah sakit yang bisa menjadi tempat kesembuhan. Semuanya perlahan-lahan membaik. Mewujudkan satu harapan yang entah apa, tetapi ada.

Namun 2016 tetap menyimpan sedikit perit kerana terlalu banyak kepergian yang tercatat. Lapan tahun persahabatan bertukar kepada keanehan kerana perkahwinan. Teman yang senyum di hadapan mencebik jijik bila membelakangkan. Jujur, aku tidak pernah ikhlas menerima semua itu.

Dan akhirnya aku tahu, aku harus keluar. Keluar dari semua kenangan dan permasalahan. Kerana menurut Blair Waldorf, kalau kita ingin bersedih, biarlah kita bersedih di Paris. Tetapi dengan simpanan yang tak seberapa dan ekonomi yang menjerut, aku memilih Jogjakarta.

Melepaskan semuanya di sana, apa lagi sewaktu keseorangan menikmati senyap di Ratu Boko dan Parangtritis. Di Jogja, akhirnya aku mengikhlaskan diriku sendiri.


Titik.


Esok, 1 Januari. Kita masih belum tahu apa yang ingin 2017 janjikan. Tetapi sekurang-kurangnya izinkanlah aku memberikan 2017 dengan yang manis-manis belaka, seperti Syawal tempoh hari.

Selamat datang kepadamu. Aku siap.