Siapa Hantu?

Prjmldn
PG, MY.


Assalamualaikum, ustazah Es.

Saya adalah bekas anak murid ustazah yang sudah kehilangan labuh tudung dan cekak tangannya. Apa khabar ustazah sekarang? Masih menganggap luaran itu mencerminkan dalaman?

Walaupun ustazah tidak pernah mengajar saya, tetapi Tuhan tetap temukan kita di asrama. Entah apalah yang Dia ingin saya pelajari daripada ustazah, atau sebaliknya, saya pun kurang pasti.

Apapun, saya mengagumi kulit mulus pipi ustazah yang saya yakini tidak ada tandingannya dengan kulit muka cikgu-cikgu lain di sekolah kita. Di sekolah lain saya belum pasti. Memang wajar ustazah memakai purdah. Menyembunyikan, kata orang.

Bukanlah saya mahu berdendam atau apa, tetapi seperti kata Soe Hok Gie, guru bukanlah dewa dan murid bukanlah kerbau.

Saya rasa ustazah pun tahu tentang diari dan buku log panjang berwarna biru yang penuh dengan nukilan dan lukisan saya, yang ustazah ambil dan rampas dari loker saya dengan bantuan minion pengawas skema yang lain.

Malang sungguh rasanya diri saya di waktu itu. Ingat lagi ustazah kejadian yang saya mengamuk di dorm kerana kehilangan buku-buku curhat, luahan dan ekspresi saya itu? Sehingga ustazah sendiri sebagai warden bertugas waktu itu naik ke dorm saya dan bertanya "ada apa yang tak puas hati?"

Wallahi, ustazah. Tak gangster langsung. Kalau ikutkan hati saya, mungkin ada sedas-dua flying kick saya yang singgah sipi di pintu ustazah berdiri. Sengaja saya biarkan ia cuma sipi-sipi kerana kurang ajar saya masih di batas wajar.

Tetapi kuasa Tuhan memang maha adil. Kali ini ustazah pula yang kelihatan ketakutan dan berada di dalam relung jari saya.

Masih ingat waktu anak-anak sekolah kita diserang histeria? Saya sebagai pengawas (tetapi bukan minion ustazah) dikerahkan untuk menjaga dan memagar asrama lantai bawah, termasuklah bilik warden.

Kebetulan yang amat sangat, Tuhan takdirkan ustazahlah warden yang bertugas pada malam itu. Muka ustazah agak panik dan pucat seperti sayalah malaikat maut yang akan menghabiskan sisa nyawa ustazah waktu itu.

Tetapi, semarah-marah saya pada ustazah, saya masih ikhlas melakukannya walau baru pertama kali saya mengepalai kejadian mistik seperti itu. Memagar setiap ruang bilik warden dengan garam dan lada hitam yang telah dibekalkan oleh ustaz Hesh. 

Mungkin sayalah yang sebenarnya hantu bagi ustazah, tanpa ustazah sedari yang menghantui akal dan minda ustazah adalah sikap dan diri ustazah sendiri.

Di kesempatan akhir ini, kalau ustazah masih mengajar, saya doakan semoga ustazah lebih berhasil mengubah pandangan kerek ustazah (both literally or not) kepada setiap murid yang nakal dan bermasalah.

Jangan tinggalkan dan jangan terlalu cepat menghakimi. Buku nukilan dan diari yang ustazah rampas dulu, sampai sekarang saya masih teringat dan sayang.

Saya cuma mahu ustazah tahu, semangat saya untuk menulis tidak pernah hilang menumbuh walau pernah ustazah patahkan satu ketika dulu. Sekarang saya jadi part time penulis dan dah ada buku puisi . Ustazah nak beli?


Saya,
Yang selalu ustazah jeling tajam kalau nampak.